Mengintai Burung Taman Alam Kinta


Kawasan bekas lombong bijih timah ini seringkali menggamit pengunjung tempatan samada untuk memancing atau menangkap gambar. Dari subuh hingga ke senja, suasana di sini pasti mendamaikan dengan deruan angin serta kicauan burung migrasi di pohon-pohon yang ada.

Dibuka sejak tahun 2000, Taman Alam Kinta atau juga dikenali sebagai Taman Burung di Kampung Pisang, Batu Gajah, sering menjadi tumpuan para pelancong yang datang dari China, Korea, Jepun dan beberapa buah negara lain. Kawasan seluas 2000 ekar merupakan bekas lombong bijih timah suatu masa dahulu.

Menurut Ketua Kampung Pisang, En. Mohd Ruah Samsudin, terdapat pelbagai jenis spesis ikan, burung malah memerang di sini. Terdapat 125 spesis burung dengan hampir 60 peratus daripadanya didaftar dan dilindungi di bawah Akta Perlindungan Hidupan Liar 1972. (Akta 76) Rata-rata anda akan melihat spesis burung berleher panjang, kaki panjang dan paruh yang panjang di sini. Antara burung-burung yang ada ialah Burung Pucung Seriap (Grey Heron) dari taburan Afrika, India, China, Filipina dan Sudan. Selain itu, Burung Pucung Keladi (Little Heron), burung Serandau, burung Pangling, burung Pucung Cina, dan banyak lagi.

Sungguhpun laluan untuk ke sini terpaksa melalui jalan berpasir tidak rata, pastinya anda akan berasa puas apabila melihat burung-burung berterbangan ketika di sana. Bahkan, sebelum tiba di taman tersebut, laluan yang terletak bersebelahan Sungai Kinta ini pastinya memberi gambaran jelas kerana banyak burung mencari makan di tepi sungai ini.

Share

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More